6HORTS
Bicara Keras Wayang Bisu
Majalah Siasah (Januari 2003)
Ulasan oleh Ibn Mulk
Ramai belum menyedari kewujudan mereka, kelompok penggiat filem independen yang sedikit demi sedikit memunculkan
diri ke permukaan. Dari kelompok yang relatif besar, bermodalkan sedikit wang, berlatarkan Bangsar, pentas teater Inggeris,
Kelab Seni Filem, sarjana dan pengkritik, lahirlah 6horts (baca: Six Shorts) kumpulan enam filem pendek karya Amir Muhammad.
6horts membuka hati dan minda mereka yang mahu berfikir dan menilai kehidupan dari lensa filem. Lost, filem pendek pertama dalam 6horts mengungkit persoalan identiti. Kad pengenalan, atau dikenal juga sebagai IC, merupakan
subjek utama dalam karya sepanjang 9.5 minit ini yang berkembang hingga membentuk tanda-tanya "identiti seseorang bergantung
kepada sekeping kad." 'Sistem' tidak mengiktiraf sesuatu individu itu tanpa merujuk kepada kad pengenalan diri. Filem ini
dibikin seminggu selepas Amir Muhammad kehilangan kad pengenalan. Marah, gelisah dan hampa dapat dirasa melalui pergerakan
kamera Amir.
Kita sering menyaksikan peristiwa ini. Tapi kita tidak pernah terfikir merakamnya. Para lebai bising di
kedai kopi tentang perlakuan jemaah solat Jumaat yang sibuk membeli-belah di tepi masjid setelah azan berkumandang. Lebai
bising, hujahnya hilang bersama angin; Amir merakam, untuk sentiasa diingati.
Friday menggambarkan manusia yang dipanggil Muslim sedang lalai, lupa dan tidak mengendahkan kepentingan khutbah yang merupakan
pengganti kepada dua rakaat di dalam solat zohor seharian. Makmum membawa urusan dunia ketika khatib sedang membaca khutbah.
Orang ramai masih memikirkan urusan dunia seperti wang, makan, rokok dan bersembang. Adakah ini berlaku kerana khutbah itu
sendiri lesu kerana telah 'dijinakkan'? Masjid Negara dijadikan contoh yang khutbahnya disiarkan melalui kaca televisyen,
hanya menyentuh tentang kepentingan nilai-nilai murni, kebersihan dan ikhlas. Karya sepanjang lapan minit ini menyajikan kronologi
perjalanan manusia untuk menunaikan kewajipan berjumaat. Datang, mengambil wudhu, mendengar (atau tidak) khutbah, kemudian
pergi setelah selesai jumaat. Dalan satu babak, Amir merakam peniaga ubat yang sama 'berkhutbah' waktu khutbah sebenar dalam
masjid dibacarakan.
Selain itu ada Mona (ya, Mona Fendi) yang menyentuh soal psikologi di mana obsesi manusia untuk menjadi terkenal boleh mengundang kecelakaan.
Trauma terhadap pengikut Osama ben Ladin dapat dilihat dalam karya tujuh minit berjudul Checkpoint. Filem ini sinis terhadap dua perkara: Pertama, paranoia dunia pasca 11 September yang terjangkit sehingga kepada pegawai
kerajaan di sempadan negara. Kedua, dwi-standard terhadap yang miskin dan kaya.
Dua lagi filem dalam 6horts ialah Kamunting (ISA, demokrasi, Hishamuddin Rais) dan Pangyau.
Himpunan cerita di dalam 6horts mendekati karya abstrak, memerlukan pemikiran untuk melihat apa yang tersirat
di sebaliknya.
Secara umum 6horts malah short film sendiri merupakan fenomena baru dalam dunia 'indie movie' di Malaysia.
6horts bebas, tegas dan punya maksud. Ia menuntut daya pemikiran penonton untuk mencari maksud yang ingin disampaikan pengarah.
Minda penat mencari mesej yang ingin dilontarkan. Saya belum berkesempatan melihat Lips to Lips, filem pertama Amir. Tetapi berdasarkan 6horts timbul soal, apakah gaya seni Amir memang sebegini, ataupun kriteria bagi
sebuah filem pendek, wajib mempunyai unsur-unsur abstrak yang dalam maksudnya.
Soalan, apakah perlu sesuatu karya itu memeningkan dan menyusahkan penonton, barulah dikira sebagai satu
karya seni? Apakah nilai seni yang dapat diambil oleh masyarakat umum sekiranya rata-rata meraka tidak faham akan mesej yang
terselit? Sesuatu yang menarik di dalam karya ini bila Amir Muhammad membicarakan tentang kecacatan Malaysia sebagai sebuat
negara dunia ketiga di dalam Checkpoint secara langsung dan tidak abstrak.
Beberapa audien (masyarakat bukan seni) yang ditemui selepas menonton filem 6horts Amir Muhammad kurang
jelas dengan hampir kesemua cerita-cerita pendek dalam antologi 6horts. Adakah Amir dikira berjaya? Tidak timbul soalan siapakah
Amir Muhammad. Beliau lulusan sarjana undang-undang, juga menulis dalam majalah The Edge dan e-majalah Kakiseni. Award yang
pernah beliau menangi ialah Critics Prize, Best Asian Digital Film, 2002 Singapore International Film Festival. Maka, terpulanglah
kepada para penonton untuk menilai karyanya.
Sekiranya kerja Amir Muhammad ini dikira sebagai satu karya seni, mampukah masyarakat umum yang secara
amnya tidak memahami seni untuk mengambil tahu dan meminati dunia seni? Apakah masyarakat awam tidak mahu menghayati seni
dalam kehidupan seharian kerana tidak suka dan tidak mahu? Atau masyarakat itu sendiri tidak dapat memahami karya-karya yang
dianggap seni oleh golongan yang menggelarkan kelompok diri mereka sebagai orang seni. Oleh itu, terciptalah satu jurang yang
amat dalam di antara kedua-dua golongan ini. Masing-masing membawa haluan tersendiri. Golongan seni terus terpinggir. Masyarakat
terus jahil seni.
Kelompok seni patut sedar bahawa mereka mempunyai 'senjata' yang perlu digunakan dengan cara berkesan untuk
mendidik masyarakat supaya lebih memahami karya seni dan menjana minda menjadi lebih kreatif dan kritis.